Monday, September 7, 2009

MISTERI PONDOK USANG

MISTERI PONDOK USANG
Oleh : Nor Najwa Azmee (2009)

CUTI sekolah sudah bermula. Danish, Raju dan Yew Chuan telah berpakat untuk menghabiskan cuti bersama-sama, mereka ingin melakukan pelbagai aktiviti yang tidak dapat dilakukan sebelum ini. Mereka ingin memancing, mandi sungai, bermain layang-layang dan macam-macam lagi.
“Jadual dah siap ke?” Tanya Raju kepada Danish.
“Sudah. Saya dah letak semua aktiviti-aktiviti yang menarik,” balas Danish.
Danish membaca aktiviti yang bakal mereka lakukan. Raju dan Yew Chuan hanya mendengar. Danish telah merancang akan membuat perkhemahan. Raju dan Yew Chuan sangat gembira. Mereka bersorak. Danish menulis senarai alatan yang mereka akan bawa.
“Eh, nanti kalau mak ayah kita marah macam mana?” Tanya Raju.
“Raju, awak jangan risaulah. Abang saya akan ikut kita. Lagipun, kita berkhemah di tepi sungai hujung kampung sana saja.” Terang Danish. Mereka merancang untuk mandi sungai dan memancing ikan. Setelah membuat senarai, mereka pulang ke rumah masing-masing.


Segala persiapan telah dilakukan. Danish dan Yew Chuan membawa khemah, pancing, periuk, lampu suluh dan alat-alat lain. Mereka sungguh gembira. Namun, Raju masih belum tiba lagi. Abang Zahid melihat jam tangannya.
“Mana Raju?” Tanya Abang Zahid.
Dari jauh, kelihatan Raju berlari kea rah mereka. Danish dan Yew Chuan hanya ketawa melihat gelagat Raju. Raju tercungap-cungap kerana kelihatan terlalu letih. Abang Zahid turut ketawa.
“Apalah awak ni, Raju. Janji pukul 10 pagi. Tapi, 10.30 baru sampai.” Yew Chuan mengeluh.
“Sudahlah. Mari kita pergi sekarang.” Abang Zahid memulakan perjalanan. Perjalanan ke Sungai Harmoni hanya mengambil masa 20 minit sahaja. Mereka ke sana dengan berjalan kaki. Mereka menyanyi gembira kerana tidak sabar untuk memulakan aktiviti. Pemandangan sekitar kawasan kampung yang dilalui sangat bersih dan tenang. Danish, Raju dan Yew Chuan berlari kea rah sungai setelah mereka sampai. Mereka terlalu gembira. Abang Zahid hanya menggelengkan kepala melihat telatah mereka. Abang Zahid meninjau kawasan sekitar. Dia ingin mencari kawasan yang sesuai untuk mendirikan khemah. Abang Zahid mengajar mereka memasang khemah. Danish, Raju dan Yew Chuan cuba memasang khemah yang dibawa. Hasil kerjasama mereka akhirnya mereka dapat menyiapkan khemah tersebut. Setelah menyiapkan khemah, Danish dan Yew Chuen ditugaskan mencari kayu api.
Raja pula perlu membantu Abang Zahid menyiapkan hidangan tengahari. Setelah mencari kayu api, Danish dan Yew Chuen menghidupkan unggun api. Unggun api tersebut dijadikan tempat untuk memasak. Abang Zahid memasakkan sardin dan telur goreng untuk hidangan mereka. Walaupun sederhana, mereka makan dengan berselera.
Setelah makan, Danish dan Yew Chuen meminta izin daripada Abang Zahid untuk meninjau kawasan sekitar. Raju pula hanya mahu berehat sahaja di dalam khemah. Abang Zahid berpesan agar mereka berhati-hati. Danish dan Yew Chuen ingin menikmati suasana hutan yang tenang.
“Yew Chuen, cuba tengok pokok tu. Pokok apa ye?”
“Entahlah. Pokok balak kot.”
“Pokok balak? Macam pokok durian aja.”
Mereka meninjau kawasan sekitar. Ketika mereka sedang melihat pohon-pohon di kawasan tersebut, tiba-tiba mereka terdengar bunti ranting dipijak orang. Danish dan Yew Chuen hanya berpandangan sesama mereka. Mereka memandang sekitar, namun tiada sesiapapun.
“Hantu kot?”
“Mana ada hantu siang-siang ni, Yew Chuen.”
Bunyi tersebut menghampiri mereka. Yew Chuan memegang tangan Danish. Wajahnya kelihatan sangat pucat. Mereka memandang sekitar. Tiada siapa yang kelihatan.
“Siapa tu?” Danish bersuara. Tiada jawapan. Bunyi tersebut semakin menghampiri mereka. Tiba-tiba, Raju keluar dari persembunyiannya. Dia ketawa terbahak-bahak. Danish dan Yew Chuen menarik nafas lega. Mereka sangat marah dengan sikap Raju. Danish dan Yew Chuen mengejar Raju yang masih lagi ketawa.


Abang Zahid memerhatikan Danish, Yew Chuen dan Raju yang sedang mandi-manda di sungai. Mereka kelihatan begitu gembira. Yew Chuen menunjukkan bakatnya sebagai perenang. Raju dan Danish hanya memerhatikan rakannya itu.
“Wah, awak sangat hebat,” puji Raju.
“Mestilah…” jawab Yew Chuen angkuh.
Wajah Danish tiba-tiba berubah. Dia terpandang seorang lelaki yang sedang memerhatikan mereka dari jauh. Lelaki tersebut melarikan diri setelah mengetahui Danish memandangnya. Raju dan Yew Chuen memandang Danish dengan hairan.
“Danish, kenapa dengan awak? Macam Nampak hantu saja.”
“Bukan hantu, Raju. Saya nampak seorang lelaki di sana.” Danish menunjukkan ke arah tempat tersebut. Yew Chuen dan Raju memandang. Namun tiada sesiapa.
“Tiada siapapun.”
“Ada, Yew Chuen. Saya rasa tak sedap hatilah.”
“Tak ada apalah. Jangan risau.”
Setelah selesai makan malam, mereka duduk mengelilingi unggun api. Abang Zahid memetik gitar sambil menyanyi. Suasana malam itu sangat sunyi. Malam itu sangat sejuk. Danish, Raju dan Yew Chuen menghayati lagu yang dinyanyikan oleh Abang Zahid.
“Sekarang dah jam 10 malam. Semua kena masuk khemah.” Abang Zahid member arahan.
Setelah memastikan Danish, Raju dan Yew Chuen masuk ke dalam khemah mereka, Abang Zahid masuk ke khemahnya. Di dalam khemah, Danish masih tidak dapat melelapkan mata. Dia teringatkan lelaki yang dilihatnya siang tadi. Tiba-tiba, dia terdengar orang berbisik di luar khemah. Beberapa ketika, suara itu hilang. Danish mengejutkan Yew Chuen dan Raju. Dia menceritakan apa yang didengarinya.
“Apa kita nak buat?” Tanya Raju ketakutan.
“Saya rasa tak senang hati. Mesti ada yang tak kena.” Kata Danish.
Mereka perlahan-lahan keluar dari khemah. Mereka mencari tempat persembunyian. Beberapa ketika, kelihatan dua orang lelaki mendekati khemah Abang Zahid. Mereka membuka khemah tersebut. Abang Zahid diikat oleh lelaki-lelaki tersebut.
“Kita mesti bantu Abang Zahid.” Kata Yew Chuen dengan penuh semangat.
Lelaki tersebut berbisik sesuatu kepada kawannya setelah tidak dapat mencari Danish dan kawan-kawan. Mereka meninggalkan kawasan perkhemahan. Abang Zahid meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tetapi tidak berjaya. Tanpa disedari oleh lelaki-lelaki tersebut, Danish, Yew Chuen dan Raju mengekori lelaki-lelaki tersebut. Mereka bersembunyi di sebalik semak apabila sampai di sebuah pondok usang. Pondok itu hanya diterangi oleh cahaya lampu pelita. Abang Zahid dibawa masuk ke dalam pondok tersebut. Danish telah mengatur rancangan untuk menyelamatkan Abang Zahid.
“Raju, awak pergi panggil orang kampong dan telefon polis. Biar saya dan Yew Chuen tunggu di sini.” Raju berlari untuk meminta bantuan. Danish dan Yew Chuen masih lagi memandang ke arah pondok usang tersebut. Mereka rasakan ada sesuatu yang tidak kena di dalam pondok tersebut. Kelihatan dua lelaki tadi keluar dari pondok. Mereka seperti berbincang. Selepas itu, mereka berpecah meninggalkan kawasan pondok. Danish dan Yew Chuen melangkah perlahan-lahan mendekati pondok tersebut. Mereka melihat melalui celah-celah dinding pondok yang berlubang. Kelihatan seorang budak perempuan diikat di dalam pondok tersebut. Abang Zahid tut berada di situ. Terdapat seorang lelaki berkepala botak mengawasi mereka.
“Saya ada rancangan.”
Danish memberitahu Yew Chuen rancangannya. Yew Chuen bersetuju untuk mengikuti rancangan tersebut. Yew Chuen berjalan ke tangga pondok usang.
“Tolong… tolong…” Setelah mendengar suara Yew Chuen, lelaki berkepala botak keluar dari pondok.
“Kau siapa?”
“Encik, tolong saya. Kawan saya tercedera.”
Lelaki tersebut turun dari pondok. Dia tidak menyedari Danish yang berdiri di belakangnya dengan sebatang kayu. Sepantas kilat, Danish menghayunkan kayu tersebut. Kayu tersebut mengenai kepala lelaki botak tersebut. Lelaki tersebut pengsan. Danish dan Yew Chuen terus masuk ke dalam pondok. Mereka membuka ikatan Abang Zahid dan kanak-kanak perempuan itu.
“Kita kena cepat sebelum dua lelaki tu sampai.” Kata Danish.
Mereka meninggalkan pondok usang tersebut. Ketika ingin melarikan diri, tiba-tiba dua orang lelaki berbaju hitam berdiri di hadapan mereka dengan wajah yang bengis. Mereka mengacukan pistol ke arah mereka. Mereka ketakutan. Danish cuba mencari jalan. Namun, tangannya dipegang oleh salah seorang daripada lelaki tersebut.
“Jangan buat apa-apa kalau mahu selamat.”
Danish hanya mendiamkan diri. Mereka hanya mengikut lelaki-lelaki tersebut. Mereka dibawa ke dalam pondok usang. Lelaki-lelaki tersebut mengikat mereka.
“Apa kita nak buat dengan mereka ni?”
“Entahlah. Rasanya ada seorang lagi ni.”
“Mana dia pergi? Hey, mana kawan kau seorang lagi?”
Danish dan Yew Chuen hanya mendiamkan diri. Mereka berdoa agar Raju cepat sampai. Pasti lelaki-lelaki ini akan ditangkap. Bunyi dentuman pintu dibuka mengejutkan mereka. Kelihatan beberapa anggota polis masuk bersama pistol. Dua orang lelaki tersebut tidak mampu melarikan diri lagi. Mereka diarahkan meletakkan pistol. Lelaki-lelaki tersebut digari oleh pihak polis.
Mengikut pihak polis, dua orang lelaki tersebut adalah suspek utama kes penculikan. Mereka telah menculik anak kenamaan sejak dua hari lepas. Pihak berkuasa mengucapkan terima kasih kepada Danish dan kawan-kawan kerana bersikap berani. Setelah pulang ke rumah, Danish menceritakan peristiwa tersebut kepada ibu bapanya. Mereka sangat bangga dengan keberanian anak-anaknya. Danish sangat bersyukur dengan apa yang berlaku kerana dia telah membantu orang yang berada dalam kesusahan. Danish merasakan cuti sekolahnya pada kali ini lebih bermakna.

2 comments:

  1. ni cerita kanak-kanak yg najwa reka untuk di hantar kepada dr. ke? hebat...

    ReplyDelete
  2. apa yang hebatnya kak...orang lain lagi gempak

    ReplyDelete