Wednesday, April 15, 2009

RENTETAN PERJUANGAN BANGSA


Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga kepentingannya. Justeru itu, British mewujudkan Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 yang merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya dan akan diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja.
Pada September 1945, pihak British bertindak memaksakan sultan-sultan Melayu untuk menandatangani perjanjian dan menerima cadangan-cadangan pihak British. Setelah menerima perjanjian-perjanjian itu, pihak British mendedahkan rancangan Malayan Union dalam suatu Kertas Putih pada akhir bulan Januari 1946 iaitu pembatalan undang-undang NNS & NNMB yang wujud sebelum ini dan digantikan dengan kesatuan Malaya yang Baru iaitu Malayan Union.
Penduduk Melayu telah bangun bersama-sama untuk membantah skim yang baru itu. Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.
Pada 1 Mei 1946 Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu diadakan di Johor Bahru. Penubuhan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres ini juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan Malayan Union dibatalkan secara keseluruhannya serta digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang telah dipersetujui dengan UMNO dan Raja-raja Melayu.
Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman sebanyak 7 kali, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

1 comment:

  1. 31 OGOS 1957 lah Tanah Melayu menerima pengisytiharan kemerdekaan :)

    ReplyDelete